Bismillahirrahmanirrahim,
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana masih lagi diberi kesempatan dan kekuatan untuk tampil menyeru ummah kepada jalan yang diredhai olehNya. Selawat dan salam ana ucapkan kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi qudwah dalam perjuangan menegakkan agama Allah serta keluarga dan para sahabat baginda.
Ikhwah/akhawat fillah,
Seringkali kita diperingatkan tentang masa yang menjadi modal bagi manusia untuk menyemai amalan di dunia dan menuai hasilnya di ladang akhirat kelak sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Asr ayat 1-3 :
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾
Maksudnya: Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.
Allah s.w.t telah bersumpah dengan kata: ( Demi masa!). Ini menunjukkan bahawa bagaimana manusia benar-benar berada dalam kerugian dan kelalaian. Adakah kita terpukul dengan kalamullah ini? Ana ingin mendatangkan satu contoh yang sangat hampir dengan kehidupan seharian kita kini iaitu berkaitan dengan isu gempa bumi yang baru-baru ini telah terjadi di bumi Aceh. Sudahkah kita telah mengambil i’brah daripada peristiwa tersebut dan membuat “turning point”( titik perubahan) dalam diri kita?. Mungkin kita menganggap gegaran itu sebagai perkara yang biasa terjadi kerana kerap kali kita mengalaminya di bumi Aceh ini, lalu kita memandang enteng sahaja perkara ini. Namun, kita perlu beringat bahawa kita sekarang berada di bumi peringatan, bumi yang pernah diterjang oleh pukulan ombak tsunami.
Benarlah menurut sabda Nabi s.a.w : “ ada dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh majoriti orang: iaitu kesihatan dan waktu lapang ( sehingga mereka tidak dapat menghasilkan pahala dan akan rugi)” -HR al-Bukhari, al-Turmuzi, Ibnu Majah, Ahmad dan Darimi
Ikhwah/akhawat fillah sekalian,
Jika kita mempunyai sensitiviti yang tinggi, kita akan sedar dan selalu berwaspada serta sentiasa meningkatkan amal kebaikan kita dan tidak menangguh-nangguhkannya walaupun sesaat sahaja. Sebagaimana nasihat Abdullah Ibnu Umar r.a : “ apabila kamu di petang hari, janganlah kamu menunda (pekerjaanmu) sehingga datangnya pagi. Apabila kamu di pagi hari, janganlah kamu menunda (pekerjaanmu) sehingga datangnya petang. Gunakanlah sebaik-baiknya masa sihatmu sebelum kamu sakit dan gunakanlah masa hidupmu sebelum nantinya ajalmu datang” -al-Bukhari
Ana yakin, tidak ramai antara kita yang sedar di kala gegaran itu terjadi. Semuanya lena diulit mimpi, tidur kerana kelelahan menjalani rutin sebagai mahasiswa. Namun, apakah kita masih terus ‘terlena’ tanpa menghitung umur akan habis dan perjalanan hidup akan segera sampai ke terminal terakhirnya iaitu”KEMATIAN”?. Ingatlah, bahawa bala’ yang diturunkan oleh Allah itu tidak mengenal siapa pun kita, tetapi nikmatnya hanya diberikan kepada mereka yang terpilih sahaja.
Jadi, disini pentingnya pengurusan masa baik bagi seorang Muslim sebagaimana yang diriwayatkan oleh Syaddad Bin Aus r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :
“orang yang pandai adalah orang yang mahu mengkoreksi diri dan melakukan amal kebajikan untuk kehidupan setelah mati. Dan orang yang lemah adalah orang yang selalu mengikutkan hawa nafsunya dan selalu berangan-angan berharap kepada Allah tanpa disertakan dengan usaha”
Pengurusan masa yang baik dalam konteks Islam itu sebenarnya boleh diaplikasikan dengan pelbagai cara. Antaranya, solat di awal waktu. Mungkin ada di antara kita masih lagi melewat-lewatkan solat atas pelbagai alasan. Nauzubillahi min zalik. Tetapi, tidak sepatutnya kita sebagai seorang mahasiswa Islam yang menuntut dalam bidang agama, yang dianggap memahami konsep ibadah kerap melakukan perkara sedemikian. Siapa sebenarnya kita ini? Kita hanyalah seorang hamba yang diberikan amanah dan taklifan oleh Allah di dunia ini. Barangsiapa yang melakukan kecuaian atas nikmat yang diberi, akan mendapat seksaan.
Ikhwah/akhawat fillah
Marilah, kita merenung ‘sesaat’. Ia bukanlah bermakna hanya satu saat, sebaliknya sejenak atau sebentar. Luangkanlah masa kita untuk zikrullah dan sediakanlah masa yang khusus untuk berbicara denganNya. Carilah ‘turning point’ kalian. Bilakah kalian akan mengubahnya?. Semoga Allah menerima setiap amalan kita dan menjauhkan kita dari penyakit ‘ghaflah’( lalai). InsyaAllah, amin..
HadanAllah wa iyyakum ajma’in..wassalamua’laikum warahmatulahi ta’ala wabarakatuh.
~Kemantapan Tarbiyyah Teras Kesatuan Mahasiswa~
Al-Ukht Hatim Fathonah Binti Mohd Kamal
Pengerusi HELWANI PKPMI-CA 2011/2012
Tidak ada komentar:
Posting Komentar