Sabtu, 19 November 2011

Untukmu Wanita


Wahai wanita tidak bertudung…
Sungguh cantik alunan rambut mu,
Bebas menggerbang kemas terikat,
Terserlah di bawah cahaya mentari,
Mentari dunia yang tak sehebat neraka,
Iaitu api yang kan membakar rambut mu,
di hari akhirat hari penentu,
maka hanguslah segalanya,
hilanglah cantik alun rambut mu,
tiada lagi yang menggerbang,
tiada lagi yang terserlah.
Oleh itu jadikanlah diri mu,
Sebahagian daripada wanita-wanita yang
bertudung…..
Wahai wanita yang bertudung…
Sungguh cantik alas kepala mu,
Ringkas pendek tersempang rapi,
Tersembul jambul tertutup dahi,
Terserlah lah bentuk tubuh,
Mengapa tidak dilindungi?
Rimaskah dengan tudung labuh ke dada?
Panaskah dengan pakaian sedemikian rupa?
Tidakkah kau ingat,
Kepanasan api neraka itu lagi hebat
membakar,
Menjilat rentung kesemua mereka yang ingkar,
Mereka itu wanita yang tak bertudung,
Kau tidak ubah seperti mereka walau
bertudung,
Oleh itu jadikanlah dirimu,
Sebahagian daripada mereka yang bertudung,
Bertudung labuh hingga ke paras dada…
 
Wahai wanita bertudung labuh…
Sungguh cantik terlindung rambut mu,
Sungguh ayu tertutup bentuk tubuhmu,
Yang terzahir jelas gaya kesopananmu,
Mengaburi segala yang tersirat di hati,
hanya diri sendiri yang menghakimi,
mungkin suci ikhlas kerana Illahi,
atau berdebu dengan sebab duniawi,
riak wajah nampak tawadhu’,
riak jiwa rupanya menunjuk-nunjuk,
alangkah ruginya andai benar begitu,
kerna azab masih tak terlepas dari mu,
serupalah sahaja diri mu ditunggu,
diseksa tidak ubah seperti wanita tak
bertudung,
sama dengan mereka yang menyempang tudung,
oleh itu jadikanlah dirimu,
sebahagian daripada mereka yang bertudung,
bertudung labuh hingga ke paras dada,
tersemat jua bersamanya rasa taqwa….

 Wahai wanita yang bertaqwa….
Andai kau telah sampai ke tahap ini,
Dengan akhlak mahmudah terpahat di hati,
Syariat islam sebati dalam diri,
Maka layaklah dikau mendapat ganjaranNya,
Yang dijanjikan di akhirat nanti,
Dan tatkala di dunia ini lagi,
Muslimah solehah kau digelari,
Menjadi idaman setiap muslim soleh,
Yang sukar sekali untuk diperoleh..
Wahai muslimah solehah pula…
Jadilah mukminah mujahidah,
Mujahidah yang akan menyeru,
Agar ditinggalkan dirinya yang dahulu,
Mujahidah yang akan berdakwah,
Agar diri dan umat berubah,
Mujahidah yang akan mengajak,
Agar islam kembali tertegak.
Dengarlah wahai wanita..
Sahutlah seruan ini..



_Kemantapan Tarbiyyah Teras Kesatuan Mahasiswa_

Senin, 14 November 2011

Ukhuwwah Fillah




Alhamdulillah.. selesai sudah dua  program besar PKPMI-CA bersama masyarakat Aceh tahun 2011 ini iaitu program Qurban di panti Asuhan Tahfiz An-Nur Lueng Bata pada tanggal 6 november dan  Bakti sosial (Baksos) di Kompleks Budha Suci/Cinta Kasih Kampung Neuheun tanggal 4 November sehingga 9 November. Kedua-dua program ini merupakan program pengantarabangsaan yang pertama kali dilakukan dengan kerjasama antara PKPMI-CA dan Universiti Malaysia Kelantan(UMK) dan telah mendapat sambutan yang baik daripada penduduk kampung serta seluruh Anak malaysia. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua panitia Qurban yang  telah bertungkus-lumus  mengendalikan program ini. Semoga keikhlasan antum/antunna dalam menjalankan amanah ini diberi ganjaran pahala oleh Allah s.wt. Terima kasih juga kepada semua ahli PKPMI-CA yang turut hadir memeriahkan lagi  program ini. Alhamdulillah, Program Bakti Sosial juga telah berjaya kami laksanakan sebagaimana yang telah kami rancang. Walaupun terdapat perbezaan aliran antara kami (PKPMI-CA dan UMK), tetapi ia bukanlah penghalang untuk kami berukhuwwah sehingga manisnya ukhuwwah itu terasa di hati-hati kami. Terlalu singkat rasanya pertemuan antara kami, namun kami redha kerana setiap pertemuan itu, pasti ada perpisahan. Semoga jalinan ukhuwwah yang dibina adalah kerana Allah s.wt dan berkekalan hendaknya. 

Dengan itu PKPMI-Ca telah menubuhkan 4 unit dan salah satunya adalah unit mini pavillion. Semoga unit mini pavillion yang baru saja ditubuhkan ini akan mendapat sambutan yang begitu hangat daripada ahli PKPMI-CA, sama-samalah kita menggerakkan unit ini di samping mengeratkan silaturahim antara kita dan masyarakat Aceh. InsyaAllah, amin....


_Seerat-erat Ukhuwwah Setinggi-tinggi Qudwah_

Sabtu, 12 November 2011

Derhaka Dalam Taat

Ghurur yang bermaksud ‘tipudaya’ juga diertikan dengan maksud ‘syaitan’ dan ‘segala yang sia-sia’. Orang yang terkena penyakit ghurur selalunya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukkan melalui amalan zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain melakukan ‘derhaka dalam taat’.
Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar dirinya melakukan amalan yang kelihatan baik, tetapi hakikatnya ia dibenci oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaaan tidak ikhlas,riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.
Orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai ‘penipu’ dalam mengamalkan perintah agama. (Surah al-Ma’un: 4-6)
Terdapat dua golongan yang dianggap melakukan derhaka dalam taat, iaitu:
1. Amal Yang Tidak Sempurna
Orang yang mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin.
Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping amalan sunat seperti solat Tahajud, puasa sunat, membaca al-Quran dan lain-lain dan ada kalanya dia pemurah, lemah-lembut, tetapi kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, menfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.
Golongan ini dianggap golongan derhaka dan ia tidak lepas dari api Neraka. Imam Ghazali berkata:”Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) untuk bangun solat Tahajud malam, janganlah buat dosa (perkara haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti pada Allah di malam hari tetapi derhaka di siang hari.
2. Cuai Dengan Amalan Batin
Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan  batin. Orang ini kelihatan pada zahirnya sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri sendiri dan lain-lain. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia merasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia di dalam Syurga. Orang ini dianggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.
Oleh itu , dalam menilai amalan, para ulama sepakat menyimpulkan; Biar sedikit amal walaupun sekadar yang fardu sahaja, tetapi di dalam hati tersemat rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.
Seorang manusia yang telah selesai melakukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah, masih ada riak, ujub dan lain-lain, belum tentu Allah terima amalannya.
Firman Allah, maksudnya:”Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih.” (An-Nisa’: 173)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya yang amat aku takut sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil.” Sahabat bertanya:”Apakah syirik kecil itu?” Baginda SAW menjawab,”Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan.” Kemudian baginda SAW menyambung: “Di Akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah swt berfirman kepada mereka:”Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu?” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW menegaskan:”Allah swt tidak menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak, walaupun sebesar zarrah.” (hadis dinukil oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin).


_Kemantapan Tarbiyyah Teras Kesatuan Mahasiswa_

Senin, 24 Januari 2011

HELWANI PKPMI-CA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt.

Untuk makluman, blog ini merupakan blog rasmi bagi Helwani (Hal Ehwal Wanita) Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, Cawangan Aceh (PKPMI CA). Blog ini dibuat bagi menyemarakkan lagi rasa kebersamaan dalam mencapai kesatuan dan kesefahaman dalam meningkatkan lagi ukhuwah sesama kita dan loyalitas Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cawangan Aceh.

Jadi, dengan adanya blog HELWANI PKPMI CA ini dapatlah kita berbahagi informasi mengenai kewanitaan khusus untuk memartabatkan institusi wanita dalam PKPMI CA.

Sebarang pertanyaan boleh menghantar email ke:
helwanipkpmica@gmail.com
atau terus menghubungi:

Pengerusi Helwani :
Ukhti Hatim Fathonah Binti Mohd Kamal
087890317696

Timbalan Pengerusi Helwani
Ukhti Nurul Farhana Binti Shamsudin
083189329594

Timbalan Pengerusi
Biro Informasi, Multimedia & Penerbitan
Ukhti Asruzita Binti Mohamood


Syukran

-KEMANTAPAN TARBIYYAH TERAS KESATUAN MAHASISWA-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...