Sabtu, 12 November 2011

Derhaka Dalam Taat

Ghurur yang bermaksud ‘tipudaya’ juga diertikan dengan maksud ‘syaitan’ dan ‘segala yang sia-sia’. Orang yang terkena penyakit ghurur selalunya lupa bahawa di sebalik ketaatan yang ditunjukkan melalui amalan zahirnya tersembunyi sifat derhaka atau dalam perkataan lain melakukan ‘derhaka dalam taat’.
Maksud orang yang derhaka dalam taat ialah orang yang tidak sedar dirinya melakukan amalan yang kelihatan baik, tetapi hakikatnya ia dibenci oleh Allah, kerana terselit niat dan perasaaan tidak ikhlas,riak, ujub, sombong, mengharapkan ganjaran dunia, mengharapkan pujian, kerana mencari pengaruh dan lain-lain.
Orang yang riak juga dianggap oleh Allah sebagai ‘penipu’ dalam mengamalkan perintah agama. (Surah al-Ma’un: 4-6)
Terdapat dua golongan yang dianggap melakukan derhaka dalam taat, iaitu:
1. Amal Yang Tidak Sempurna
Orang yang mengamalkan syariat lahir dan batin tetapi kedua-duanya tidak sempurna dan dalam masa yang sama ia masih terlibat dengan dosa dan maksiat, sama ada maksiat zahir atau batin.
Contohnya, melakukan semua perintah fardu di samping amalan sunat seperti solat Tahajud, puasa sunat, membaca al-Quran dan lain-lain dan ada kalanya dia pemurah, lemah-lembut, tetapi kehidupannya masih lagi terlibat dengan riba, dedah aurat, pergaulan bebas, mengumpat, menfitnah, mencerca, sombong dan cinta dunia.
Golongan ini dianggap golongan derhaka dan ia tidak lepas dari api Neraka. Imam Ghazali berkata:”Kalau kamu tidak boleh (belum mampu) untuk bangun solat Tahajud malam, janganlah buat dosa (perkara haram) di siang hari. Kerana tidak ada gunanya berbakti pada Allah di malam hari tetapi derhaka di siang hari.
2. Cuai Dengan Amalan Batin
Orang yang banyak mengerjakan amalan-amalan lahir tetapi cuai terhadap amalan-amalan  batin. Orang ini kelihatan pada zahirnya sempurna, baik, tetapi hatinya penuh dengan hasad dengki, buruk sangka, sombong, bakhil, riak, ujub, cinta dunia, mementingkan diri sendiri dan lain-lain. Selain itu ia juga suka menghina dan memandang rendah kepada orang yang kurang ibadah, kerana menyangka dirinya hebat. Dia merasa tenang dan senang dengan ibadahnya dan rasa yakin akan selamat di Akhirat. Ia menyangka dengan amalannya pasti Allah akan berinya kedudukan yang mulia di dalam Syurga. Orang ini dianggap derhaka pada Allah dalam amalan taatnya. Sebenarnya ia jauh dari Allah dan hatinya terputus dengan Allah.
Oleh itu , dalam menilai amalan, para ulama sepakat menyimpulkan; Biar sedikit amal walaupun sekadar yang fardu sahaja, tetapi di dalam hati tersemat rasa takut pada Allah (taqwa) daripada banyak amal lahir tetapi tiada rasa taqwa. Walaupun banyak dan hebat ibadah seseorang, tetapi selagi hatinya tidak zuhud dengan dunia, selama itu ibadahnya tidak bernilai.
Seorang manusia yang telah selesai melakukan segala perintah Allah, tetapi dalam masa yang sama, jika hatinya tidak beradab dengan Allah, masih ada riak, ujub dan lain-lain, belum tentu Allah terima amalannya.
Firman Allah, maksudnya:”Ada pun orang yang enggan dan menyombongkan diri maka Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang pedih.” (An-Nisa’: 173)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya yang amat aku takut sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil.” Sahabat bertanya:”Apakah syirik kecil itu?” Baginda SAW menjawab,”Ialah riak (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan.” Kemudian baginda SAW menyambung: “Di Akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya, Allah swt berfirman kepada mereka:”Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu?” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW menegaskan:”Allah swt tidak menerima sesuatu amalan yang di dalamnya terselit perasaan riak, walaupun sebesar zarrah.” (hadis dinukil oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin).


_Kemantapan Tarbiyyah Teras Kesatuan Mahasiswa_

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...